Sabtu, 16 Mei 2020 | 6:20pm

COVID-19: Thailand terus kekal tiada kes baharu dan kematian

BANGKOK: Thailand hari ini sekali lagi melaporkan sifar kes baharu COVID-19 dan kematian, jumlah kes kekal 3,025 dengan 56 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin, mengucapkan terima kasih kepada semua warganegara Thailand atas kerjasama mereka memerangi COVID-19.

"Saya berharap tiada kes baharu dan kematian, dalam tempoh lebih lama atau sekurang-kurangnya satu angka kes baharu memandangkan fasa kedua dengan pelonggaran sekatan akan bermula esok," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Daripada 3,025 kes, seramai 2,855 pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital manakala 114 masih lagi menerima rawatan.

Pada Rabu, Thailand merekodkan sifar kes baharu dan kematian untuk pertama kali sejak 9 Mac.

Sejak pelonggaran sekatan fasa pertama pada 3 Mei, Thailand telah merekodkan kes harian baharu satu angka kecuali pada 4 Mei yang merekodkan 18 kes melibatkan bilangan tahanan yang sama di pusat tahanan imigresen di wilayah selatan Songkhla.

Thailand, negara pertama di luar China melaporkan kes COVID-19 mencatatkan peningkatan harian tertinggi sebanyak 188 kes yang disahkan pada 22 Mac.

Sementara itu, fasa kedua pelonggaran sekatan akan bermula esok menyaksikan lebih banyak perniagaan dan tempat dibuka termasuk pusat beli-belah dan gedung serbaneka.

Selain itu perintah berkurung di seluruh negara akan dipendekkan sejam iaitu dari 11 malam hingga 4 pagi berbanding 10 malam hingga 4 pagi sebelum ini.

Sementara itu, Thailand telah mengeluarkan China, Korea Selatan, Hong Kong dan Macau dari senarai Zon Penyakit Berjangkit untuk COVID-19. Pengumuman itu disiarkan dalam Warta Diraja pada Jumaat.

Situasi COVID-19 di negara dan wilayah berkenaan dan keberkesanan mereka mengekang virus maut itu telah bertambah baik, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X