Isnin, 18 Mei 2020 | 4:50pm
Kementerian Kesihatan Brunei mengumumkan setiap pengendali premis makanan dikehendaki mendapatkan kod QR BruHealth. - Foto The Scoop
Kementerian Kesihatan Brunei mengumumkan setiap pengendali premis makanan dikehendaki mendapatkan kod QR BruHealth. - Foto The Scoop

Brunei longgar sekatan berperingkat COVID-19, perkenal kod BruHealth

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Brunei melonggarkan beberapa perintah kawalan COVID-19 bagi membolehkan sebahagian restoran, kafe, medan selera dan gerai makanan kembali dibuka dengan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan.

Dalam sidang media harian, Kementerian Kesihatan Brunei mengumumkan setiap pengendali premis makanan dikehendaki mendapatkan kod QR BruHealth.

Ia mesti dicetak dan dipaparkan di pintu masuk kedai bagi membolehkan pelanggan membuat imbasan ketika mengunjungi premis.

Hanya pelanggan yang didapati mengimbas kod hijau dan kuning akan dibenarkan masuk untuk makan di dalam premis.

Mereka juga diingatkan supaya mematuhi peraturan berkenaan dan arahan berkaitan pengurangan langkah kawalan yang dilaksanakan secara berperingkat itu dan langkah penjarakan sosial.

Pelanggaran peraturan itu juga menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Seksyen 204), yang boleh dikenakan denda BND$10,000 (RM30,621) atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Penduduk Brunei juga menerima berita gembira hari ini apabila kerajaan mengumumkan pasar malam popular di negara itu, Pasar Malam Gadong, akan dibuka semula.

Kerajaan turut memaklumkan, pasar malam lain di negara itu dijangka mula beroperasi dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Brunei hari ini melaporkan tiada kes baharu dengan statistik kumulatif COVID-19 di negara itu kekal 141 kes, malah tiada kes baharu dilaporkan selama 11 hari berturut-turut, sejak 7 Mei lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan, tiada kes pesakit sembuh direkodkan setakat semalam, sekali gus mengekalkan jumlah warga Brunei yang pulih ialah 136 orang, manakala empat pesakit masih dirawat di Pusat Isolasi Nasional.

Selain itu, dua pesakit difahamkan masih berada dalam keadaan kritikal dan sepanjang pandemik COVID-19, cuma satu kematian direkodkan di Brunei. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X