Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:05pm
Tempat duduk awam lenggang di Singapura berikutan galakan duduk di rumah bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Foto AFP
Tempat duduk awam lenggang di Singapura berikutan galakan duduk di rumah bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Foto AFP

Singapura sambut Aidilfitri Ahad ini

SINGAPURA: Umat Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada Ahad ini, demikian menurut Mufti republik, Dr Naziruddin Mohd Nasir.

Naziruddin berkata, perkara itu diputuskan menerusi kaedah hisab.

Singapura mempunyai hampir satu juta penduduk beragama Islam, iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah penduduknya.

Sementara itu, Naziruddin berkata dengan izin Allah, umat Islam berjaya menjalani Ramadan walaupun dalam suasana yang luar biasa lagi mencabar.

"Pada masa yang sama, kita juga beriltizam untuk sama-sama mengatasi penularan wabak (COVID-19) di Singapura. Teruskanlah usaha dan semangat ini, dan marilah kita menghayati maksud kejayaan di sebalik Aidilfitri," katanya dalam kenyataan.

1 Syawal di Singapura kali ini jatuh dalam tempoh pelaksanaan langkah pemutus rantaian yang akan berakhir pada 1 Jun ini bertujuan mengekang wabak COVID-19 yang menyaksikan rumah ibadat, termasuk masjid kekal ditutup.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebelum ini mengingatkan umat Islam di sini supaya mematuhi larangan perhimpunan di tempat awam dan persendirian serta mengelak tradisi kunjung-mengunjung dan berkumpul bersempena sambutan Aidilfitri. – BERNAMA

Berita Harian X