Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:52pm

Filipina sumber utama pencabulan seks kanak-kanak dalam talian di dunia

MANILA: Filipina menjadi negara sumber eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian terbesar dunia, didorong krisis kemiskinan yang meningkatkan penyalahgunaan golongan itu.

Menurut kaji selidik selama tujuh tahun oleh Misi Keadilan Antarabangsa, ibu bapa dan saudara didapati terbabit dengan penganiayaan dalam hampir semua kes.

Selain itu, kombinasi kefasihan penduduknya berbahasa Inggeris dan hubungan internet yang tinggi membantu Filipina menjadi 'tompok panas global' untuk pornografi kanak-kanak, kata laporan itu.

Berdasarkan dapatan kaji selidik oleh penguatkuasa undang-undang, jumlah alamat internet Filipina yang digunakan sebagai hos pornografi kanak-kanak meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun sehingga 2017.

kata Pengarah IJM Filipina, Samson Inocencio, berkata kajian itu turut mendedahkan bahawa kanak-kanak menjadi mangsa selama bertahun-tahun dan yang paling muda berusia kurang satu tahun.

"Ada kanak-kanak yang perlu diselamatkan sekarang, tetapi penyelamatan bermula dengan pengesanan tepat pada masanya dan perlu disokong laporan yang kuat," katanya.

Setiausaha Kehakiman Filipina, Emmeline Villar, dalam satu kenyataan sebagai maklum balas kepada kaji selidik itu, menegaskan tindakan secara global perlu diambil.

"Kita perlu bertindak sebagai masyarakat global bagi mengakhiri kekejaman ini, termasuk di negara sumber seperti Filipina dan negara konsumer," katanya

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), pada Januari lalu berkata Filipina berada di kedudukan teratas sebagai negara sumber pencabulan kanak-kanak sebagai bahan seks.

Difahamkan, terdapat 600,000 gambar seksual kanak-kanak diperdagangkan termasuk secara sistem barter, hanya pada 2018.

Bulan lalu, Rangkaikan Hak Kanak-Kanak yang berpusat di Manila memberi amaran, negara itu yang kini di bawah perintah berkurung susulan pandemik COVID-19, mendorong peningkatan perkongsian dalam talian dan penjualan bahan seksual kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X