Ahad, 24 Mei 2020 | 3:12pm
Walaupun umat Islam di Indonesia dilarang mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid berikutan ancaman COVID-19, masih ada yang bersembahyang di kawasan letak kereta masjid di Jakarta. - Foto AFP
Walaupun umat Islam di Indonesia dilarang mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid berikutan ancaman COVID-19, masih ada yang bersembahyang di kawasan letak kereta masjid di Jakarta. - Foto AFP

Aidilfitri yang luar biasa di Indonesia

JAKARTA: Sambutan Aidilfitri di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, diraikan secara 'luar biasa' hari ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Umat Islam di Indonesia dilarang mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid, tidak menganjurkan rumah terbuka, balik kampung dan kunjung-mengunjung rumah sanak saudara atau rakan.

Hanya empat tempat yang dinyatakan sebagai kawasan terkawal dari pandemik itu iaitu Kota Bekasi (Jawa Barat), Kota Dumai (wilayah Riau di Sumatera), Kabupaten Natuna (Kepulauan Riau) dan Kabupaten Gorontalo Utara (Sulawesi Utara), dibenarkan mengadakan solat Aidilfitri, dengan prosedur ketat penjarakan sosial.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, menerusi catatan di laman Facebook, berkata sambutan Aidilfitri di luar kebiasaan itu adalah satu catatan sejarah yang pastinya abadi dan memberi kesan kepada semua pihak.

"Menjelang pagi, kami bersiap melaksanakan solat sunat Aidilfitri. Anak saya mempersiapkan kamera video dengan tripod - momen ini sejarah penting yang perlu diabadikan. Sunyi dan cemas," tulisnya di laman Facebook.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan terdapat masjid di Indonesia termasuk di Jakarta, melaksanakan solat Aidilfitri dan dihadiri ramai jemaah, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya kluster baharu virus itu.

Setakat semalam, kes positif COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 21,745 kes, dengan 1,351 kematian.

Pemerintah Indonesia juga melaksanakan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) sejak Mac lalu, bagi menangani penularan virus itu.

Majlis Ulama Indonesia sebelum ini turut mengeluarkan fatwa membolehkan umat Islam melaksanakan solat Aidilfitri di rumah.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan isterinya, Iriana Jokowi, menerusi video yang disiarkan di YouTube rasmi Sekretariat Presiden, menunaikan solat Aidilfitri di perkarangan Istana Presiden di Bogor bersama beberapa petugas istana.

Jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rachman, dalam satu kenyataan, berkata Jokowi juga mengarahkan menteri kabinet dan semua kementerian serta agensi berkaitan pemerintah, tidak mengadakan majlis rumah terbuka.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga tidak mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid di kedutaan, serta tidak mengadakan majlis Aidilfitri atau rumah terbuka seperti kelazimannya sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X