X
Ahad, 24 Mei 2020 | 7:34pm
Kluster di asrama pekerja asing terus menjadi masalah terbesar Singapura dalam perang menentang COVID-19. - Foto AFP
Kluster di asrama pekerja asing terus menjadi masalah terbesar Singapura dalam perang menentang COVID-19. - Foto AFP

642 kes baharu, jangkitan COVID-19 Singapura meningkat kepada 31,068 kes

SINGAPURA: Sebanyak 642 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 31,068 kes positif di republik itu.

Daripada jumlah itu, enam adalah warga Singapura dan penduduk tetap, sementara bakinya merangkumi pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Semalam, Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong, menegaskan bahawa selepas 1 Jun, pekerja harus kembali ke tempat kerja jika mereka memerlukan peralatan dan mesin khusus yang tidak dapat diakses dari rumah atau undang-undang mewajibkan mereka kembali bekerja.

Susulan itu, tambah beliau yang mempengerusikan pasukan petugas pelbagai kementerian menguruskan wabak COVID-19, kebanyakan pekerja yang bekerja di pejabat akan ditetapkan untuk terus bekerja dari rumah.

Wong, dalam dalam hantaran di akaun Facebook, berkata majikan dan pengurus perlu mengubah minda bagi membiasakan diri dengan amalan baru itu.

"Bagi mereka yang perlu berada di lokasi, majikan harus mempertimbangkan jika kakitangan benar-benar perlu masuk kerja setiap hari, sebaliknya cuba mengatur supaya pekerja dapat bekerja dari rumah beberapa hari dalam seminggu.

"Majikan ini juga harus menawarkan waktu kerja anjal dan menjamin persekitaran tempat kerja selamat dengan memastikan pengudaraan terbaik, standard kebersihan yang tinggi dan penjarakan selamat di tempat kerja," katanya.

Setakat kelmarin, seramai 28,161 atau lebih lapan peratus daripada 323,000 pekerja asing yang tinggal di asrama diuji positif COVID-19.

Sejumlah 23 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi berpunca daripada COVID-19 dan sembilan yang diuji positif maut kerana sebab-sebab lain.

Pada peringkat global pula, wabak pandemik yang muncul di Wuhan, China pada Disember tahun lalu itu setakat petang hari ini menjangkiti 5,423,932 orang termasuk mengakibatkan 344,337 kematian. - AFP

Berita Harian X