Isnin, 25 Mei 2020 | 10:01am
Akademi Tentera Filipina (PMA).
Akademi Tentera Filipina (PMA).

Tiada halangan kadet Muslim di Akademi Tentera Filipina

MANILA: "Ramai menyangkakan Akademi Tentera Filipina (PMA) tidak sesuai untuk orang Muslim. Mereka dakwa saya tidak akan memenuhi tuntutan agama sebagai seorang Islam jika menyertai akademi ini," kata Kadet Kelas Kedua, Alrajan Aripin .

Bagaimanapun, wanita berkenaan membuktikan kenyataan itu ternyata meleset dan berlawanan daripada apa yang diperkatakan, lapor agensi berita Arab News.

Rakyat Muslim adalah sebahagian daripada populasi negara Filipina yang kebanyakannya beragama Katholik dan hanya sekitar 20 daripada 975 kadet di PMA adalah Islam.

Bagaimanapun seperti yang lain, kadet Muslim juga berbangga untuk berbakti kepada negera dan status minoriti bukan penghalang untuk mereka berjaya.

Aripin, yang berasal dari wilayah Tawi-Tawi berkata, akademi itu sudah banyak melahirkan pegawai tentera beragama Islam dan menghormati setiap acara yang perlu disertai mereka.

Dia memberitahu, selepas tahun akhir persekolahan menengah lalu, dia tidak mempunyai perancangan masa hadapan tetapi tertarik dengan maklumat mengenai PMA yang diletakkan di sekolahnya.

Kemudian, dia berbincang dengan keluarga dan ibu bapa, yang ternyata bimbang terhadap ibadat agama yang perlu dilaksanakan..

Kadet Kelas Ketiga, Nerfa Minong yang berasal dari Zamboanga City pula menjelaskan, seorang daripada saudaranya juga adalah graduan PMA, oleh itu dia tidak menerima bantahan untuk menyertai sekolah tentera itu.

"Kami akan menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan ibadat yang dilakukan termasuk solat berjemaah setiap Jumaat... kami hanya perlu melaporkan perkara itu (kepada ketua) di mana kami berada dan apa keperluan agama kami.

"Kami sebenarnya tidak mempunyai masalah apabila berada di sini. Di dewan makan, kami dihidangkan makanan yang tidak mengandungi babi yang diharamkan agama Islam," katanya yang mengakui mendapat pertanyaan mengenai Islam dan amalannya daripada pelajar lain.

Aripin dan Minong tidak tertekan dengan ibadah Islam yang dilakukan mereka malah PMA sentiasa memberi ruang untuk mereka mengerjakannya malah turut bersama dengan pelajar lain makan pada jam 5.30 pagi, tengahari dan 5 petang.

Tetapi pada bulan Ramadan, mereka dihidangkan makanan pada jam 3 pagi dan 6 petang untuk berpuasa antara terbitnya matahari dan terbenamnya fajar.

Minong berkata, mereka dikecualikan untuk perhimpunan tengahari dan kesempatan itu mereka ambil untuk menunaikan solat Zohor. - Agensi

Berita Harian X