Ahad, 28 Jun 2020 | 4:44pm
Seorang lelaki Rohingya memeluk pegawai Indonesia selepas diselamatkan, Khamis lalu. - FOTO AFP
Seorang lelaki Rohingya memeluk pegawai Indonesia selepas diselamatkan, Khamis lalu. - FOTO AFP

'Dipukul penyeludup, terpaksa minum air kencing sendiri untuk terus hidup'

LHOKSEUMAWE (INDONESIA): Sekumpulan etnik Rohingya mendakwa mereka dipukul penyeludup serta terpaksa meminum air kencing sendiri untuk terus hidup sepanjang tempoh empat bulan bergadai nyawa di laut sebelum mereka akhirnya diselamatkan berhampiran pantai Indonesia.

Mereka yang kelihatan tidak terurus - berjumlah kira-kira 100 orang dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak - kongsikan pengalaman pahit yang antara lain terpaksa membuang mayat ke laut.

Dua daripada mangsa terselamat itu mendakwa penyeludup yang diupah untuk mengangkut mereka, telah bertindak memukul sebelum meninggalkan etnik Rohingya terbabit di laut.

Mereka kemudian diselamatkan nelayan di Indonesia, Rabu lalu, dan ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan pada keesokannya.

"Kami begitu menderita di dalam bot itu. Mereka menyeksa dan mencederakan kami. Malah, salah seorang daripada kami telah mati.

"Pada mulanya, ada makanan tetapi apabila ia sudah habis, mereka (penyeludup) memindahkan kami ke bot lain dan membiarkan kami hanyut di lautan," kata Rashid Ahmad, 50, kepada AFP di pusat tahanan imigresen di bandar Lhokseumawe di pantai utara Sumatera.

Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Habibullah mendakwa: "Mereka memukul semua orang dengan teruk. Telinga saya dilukakan, selain dipukul di kepala."

Namun, AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas kisah mereka itu yang turut mendakwa kumpulan terbabit memulakan perjalanan pada awal tahun ini, berhampiran sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh. - AFP

Berita Harian X