Selasa, 30 Jun 2020 | 8:59pm
Petugas kesihatan sukarela, Naowarat Yangpu (kanan) memeriksa suhu badan penduduk kampung di daerah Bang Phae, Wilayah Ratchaburi, Thailand. - Foto BERNAMA
Petugas kesihatan sukarela, Naowarat Yangpu (kanan) memeriksa suhu badan penduduk kampung di daerah Bang Phae, Wilayah Ratchaburi, Thailand. - Foto BERNAMA

COVID-19: Perintah darurat di Thailand dilanjut sebulan lagi

BANGKOK: Thailand melanjutkan perintah darurat selama sebulan lagi hingga akhir Julai bagi mengurangkan risiko gelombang kedua pandemik COVID-19 di negara itu, walaupun lebih banyak perniagaan dan premis berisiko tinggi dibuka semula esok.

Selain lebih banyak sektor dibuka semula, Thailand juga dijangka akan menerima kemasukan warga asing termasuk pemastautin tetap; warga asing yang berkahwin dengan rakyat negara itu dan anak-anak mereka; pelajar dan guru antarabangsa; serta mereka yang memerlukan rawatan perubatan di negara itu bermula esok.

Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Rumah Kerajaan hari ini, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, Kabinet hari ini meluluskan perlanjutan perintah darurat yang sepatutnya berakhir hari ini kepada 31 Julai.

Walaupun situasi COVID-19 di Thailand terus bertambah baik dengan tiada jangkitan tempatan untuk tempoh lebih daripada 30 hari, namun penularan wabak itu di seluruh dunia terus menjadi kerisauan.

"Kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sekatan dan membuka kembali perniagaan dan premis berisiko tinggi termasuk sekolah dan pusat hiburan bermula esok. Oleh itu, adalah mustahak untuk mengekalkan perintah darurat kerana ini adalah mekanisme utama untuk mengawal COVID-19 di Thailand," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Thailand telah mengisytiharkan darurat di negara itu dari 26 Mac hingga 30 April lalu kerana pandemik itu dengan mengenakan sekatan dan langkah-langkah seperti penutupan sekolah, tempat hiburan dan stadium, serta perjalanan antarabangsa dan antara wilayah.

Perintah darurat dilanjutkan hingga 31 Mei lalu, dan kemudian hingga 30 Jun untuk mencegah gelombang kedua jangkitan COVID-19.

Thailand melaporkan dua kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,171 kes dengan 58 kematian.

Dua kes baharu itu membabitkan warga Thailand yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan milik kerajaan.

Hari ini adalah hari ke-36 tanpa jangkitan tempatan di Thailand. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X