Sabtu, 11 Julai 2020 | 6:10pm
Myanmar meluluskan undang-undang membenarkan penternakan harimau, tenggiling dan spesis terancam lain. - Foto AFP
Myanmar meluluskan undang-undang membenarkan penternakan harimau, tenggiling dan spesis terancam lain. - Foto AFP

Penternakan harimau, tenggiling di Myanmar berisiko lonjak permintaan

YANGON: Pencinta alam sekitar khuatir tindakan mengejut Myanmar meluluskan undang-undang membenarkan penternakan harimau, tenggiling dan spesis terancam lain akan meningkatkan permintaan produk haiwan eksotik di China.

Negara Asia Tenggara itu sememangnya menjadi hab kepada penyeludupan haiwan liar, didorong permintaan tinggi dari negara jiran China, yang secara global dianggarkan bernilai AS$20 bilion (RM85 bilion).

Jun lalu, Jabatan Perhutanan Myanmar secara senyap memberi lampu hijau kepada zoo persendirian untuk memohon lesen bagi menternak 90 spesies termasuk lebih 20 daripadanya hidupan liar spesis terancam atau terancam teruk.

Langkah yang tidak dijangka itu mencetuskan kemarahan kumpulan pencinta alam sekitar, namun Jabatan Perhutanan memberi alasan bahawa ia adalah cara bagi mengurangkan pemburuan spesies liar dan pembiakan haram.

Ini bermakna harimau, yang kini hanya tinggal sekitar 22 ekor di Myanmar, selain tenggiling, gajah dan pelbagai spesis burung nasar, ikan lumba-lumba Ayeyarwady dan buaya Siam sudah boleh dibiakkan bagi mendapatkan daging serta kulitnya.

Bagaimanapun, pencinta alam sekitar berkata penternakan secara komersial dalam jangka masa panjang secara tidak langsung akan menghalalkan eksploitasi spesis terancam itu dan meningkatkan permintaan pasaran.

Tabung Alam Sedunia (WWF) dan Fauna & Flora International (FFI), dalam satu kenyataan bersama, berkata perdagangan komersial sudah dibuktikan meningkatkan perdagangan haiwan liar secara haram.

"Kita khuatir penternakan hidupan liar ini akan mewujudkan pasaran yang selari dan meningkatkan permintaan terhadap produk haiwan liar secara keseluruhan," katanya.

Pakar juga sangsi mengenai kemampuan Myanmar mengawal selia perdagangan itu selain wujud risiko jangkitan penyakit kepada manusia daripada haiwan, malah mungkin mencetuskan 'COVID-19 seterusnya'.

Wakil pertubuhan pemuliharaan kucing hutan, Panthera, John Goodrich, memberi amaran bahawa hidupan liar yang ditangkap mungkin akan cuba didagangkan sebagai haiwan yang diternak.

"Ini akan menyukarkan usaha memantau kegiatan haram itu jika mekanisme pemantauan, kawal selia dan pelesenan tidak cekap," katanya.

Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam (CITIES) membenarkan pembiakan spesis terancam tertentu, namun hanya di bawah peraturan yang ketat. - AFP

Berita Harian X