Ahad, 12 Julai 2020 | 7:57pm
Presiden Joko Widodo (Jokowi) sewaktu meninjau lokasi Food Estate di Belanti Siam, Kecamatan Pandih Batu, Kabupaten Pulang Pisau, Kalimantan Tengah.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) sewaktu meninjau lokasi Food Estate di Belanti Siam, Kecamatan Pandih Batu, Kabupaten Pulang Pisau, Kalimantan Tengah.

Indonesia bangun projek estet makanan di Kalimantan

JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang menyiapkan pembinaan estet makanan di daerah Pandih Batu, Pulang Pisau, sekitar 147.4 kilometer dari ibu negeri wilayah Kalimantan Tengah, Palangka Raya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat kawasan itu Khamis lalu dan mengarahkan pembangunan projek berkenaan diuruskan Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Basuki Hadimuliono.

Turut terbabit, Menteri Perniagaan Milik Negeri, Erick Thohir dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.

Menurut Basuki, estet makanan itu mencakupi kawasan seluas 164,598 hektar dengan pembangunan peringkat awal 30,000 hektar dimulakan Oktober tahun ini hingga Mac 2021, sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

"Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam akan menambah baik saluran perparitan, manakala Kementerian Pertanian menumpukan pada aspek lain.

"Kami sedang bersedia untuk membolehkan proses penanaman dimulakan pada Oktober hingga Mac," katanya.

Estet makanan terbabit terletak di kawasan pembangunan projek tanah gambut di bawah era pemerintahan Presiden Suharto (1967-1998), di antara Sungai Kapuas dan Sungai Barito di Kalimantan Tengah.

Kata Basuki, estet itu dijangka muncul sebagai pusat pertanian moden dengan segala teknologi sokongan, justeru memerlukan pekerja mahir, yang akan disediakan Kementerian Pertahanan menerusi satu program khas.

Jurucakap kementerian itu, Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata pihaknya juga akan memainkan peranan sebagai sektor peneraju, dalam usaha mengukuhkan projek estet makanan terbabit.

"Projek estet makanan ini dijangka menjadi simpanan strategik holistik Indonesia, dan akan disenggara pegawai Tentera Negara Indonesia," katanya.

Tambah beliau, pandemik COVID-19 yang melumpuhkan sektor ekonomi serta sosial di hampir seluruh dunia selain turut mengancam kestabilan bekalan makanan, menjadi faktor pendorong kepada projek itu. - AGENSI

Berita Harian X