Sabtu, 15 Oktober 2016 | 1:27pm

Australia mahu penjelasan status berdepan Thailand

SYDNEY: Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) sedang mendapatkan penjelasan sama ada aksi kelayakan Piala Dunia Zon Asia berdepan Thailand di Bangkok, bulan depan akan diteruskan berikutan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Menurut FFA, ia masih menunggu surat pemberitahuan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok boleh dijalankan pada 15 November depan.

Bhumibol, monarki paling lama bertakhta di dunia, mangkat pada usia 88 tahun di Hospital Siriraj kelmarin selepas beberapa tahun mengalami masalah kesihatan.

Kerajaan Thailand sudah pun meminta untuk larangan sebarang bentuk aktiviti hiburan dan sukan selama sebulan.

Dalam kenyataannya, FFA menjelaskan ia sedang menunggu kata putus daripada FIFA dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) berkenaan pertemuan Australia menentang Thailand.

Australia kini menduduki tangga kedua Kumpulan B kelayakan Piala Dunia Zon Asia untuk merebut tiket ke Piala Dunia 2018 Russia, dengan Thailand setakat ini gagal meraih sebarang mata selepas empat aksi - AFP

Berita Harian X