Selasa, 28 Julai 2015 | 2:48pm
David de Gea
David de Gea

Benitez tolak kehadiran De Gea ke Real

GUANGZHOU, China: Pengendali Real Madrid, Rafael Benitez menolak khabar angin kelab gergasi Sepanyol itu sedang melobi untuk mendapatkan David de Gea dari Manchester United dan yakin Sergio Ramos akan kekal bersama kelab itu.

Kelab Inggeris, Man United, semalam mendapatkan khidmat penjaga gol Argentina, Sergio Romero yang menguatkan spekulasi perpindahan De Gea ke negara kelahirannya.

Begitupun, perjanjian itu dijangka membabitkan kapten Real, Ramos ke Old Trafford.

"De Gea?" kata Benitez ketika ditanya wartawan yang berterusan menyoal mengenai perpindahan terbabit. "Apa yang saya tahu ialah kami menjaringkan tiga gol dan saya amat gembira."

Benitez berkata demikian selepas kelab bimbingannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Itali, Inter Milan di Guangzhou.

Ketiga-tiga gol Real dijaringkan Jese, Raphael Varane dan James Rodriguez,

Dalam pada itu, Benitez turut menambah pertahanan Sepanyol, Ramos sudah menemui presiden kelab itu, Florentino Perez di Guangzhou yang menguatkan kepercayaannya tonggak pertahanannya itu tidak akan berhijrah ke mana-mana kelab dan akan menandatangani kontrak baharu tidak lama lagi.

"Saya bertanya kepada Perez mengenai pertemuan dengan Ramos selepas makan malam pada Ahad. Dia memberitahu saya kedua-dua pihak optimis. Saya juga optimis," kata Benitez. - AFP

Berita Harian X