Khamis, 7 September 2017 | 6:16pm

164,000 pelarian Rohingya larikan diri - PBB

COX'S BAZAR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan, hampir 164,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak dua minggu berikutan pertempuran yang masih meletus antara pasukan tentera dan kumpulan militan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PBB berkata, perangkaan terbaru itu bermakna lebih daripada suku juta pelarian telah meninggalkan Myanmar sejak pertempuran pertama meletus Oktober tahun lalu.

Peningkatan jumlah itu sebahagian besarnya diakibatkan oleh operasi besar-besaran tentera yang membalas dendam selepas diserang hendap militan Rohingya 25 Ogos lalu.

Sejumlah 87,000 pelarian telah melarikan diri ke Bangladesh antara Oktober tahun lalu sehingga 25 Ogos.

SEKURANG-KURANGNYA 370,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ekoran operasi tentera Myanmar sejak 25 Ogos lalu yang menyasarkan kumpulan militan Rohingya yang menyerang pos polis dan tentera di sempadan.- Foto Reuters
SEKURANG-KURANGNYA 370,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ekoran operasi tentera Myanmar sejak 25 Ogos lalu yang menyasarkan kumpulan militan Rohingya yang menyerang pos polis dan tentera di sempadan.- Foto Reuters

Lebih sejuta etnik Rohingya di Myanmar berdepan konflik kerakyatan apabila mereka tidak diiktiraf pemerintah malah turut dikenakan pelbagai larangan di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu.

Walaupun telah mendiami Myanmar untuk beberapa generasi, etnik Rohingya masih dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Bangladesh pula sehingga Oktober tahun lalu telah menjadi kediaman kepada 400,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di wilayah mereka. - AFP

Berita Harian X