Jumaat, 15 September 2017 | 12:32am
Ketua pemberontak Syiah Houthi di Yaman, Abdel Malek al-Huthi.

Pemberontak Yaman ancam serang UAE

SANAA: Ketua pemberontak Syiah Houthi di Yaman, Abdel Malek al-Huthi, mengancam untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kapal tangki Arab Saudi di Laut Merah.

UAE adalah anggota pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi menentang pemberontak di Yaman yang mendapat sokongan Iran.

"Ia berada dalam lingkungan peluru berpandu kami. Jadi, mana-mana syarikat yang ditubuhkan di UAE atau mempunyai pelaburan di UAE tidak boleh lagi menganggap ia sebuah negara yang selamat," kata Abdel Malek kepada stesen televisyen dikuasai pemberontak, Al-Masirah.

Abdel Malek berkata, pasukan tenteranya juga sudah menaik taraf keupayaan teknologi peluru berpandu sedia ada supaya ia boleh mencapai sasaran di utara Riyadh, ibu negara Arab Saudi, dan di selatan Makkah, kota suci umat Islam.

"Pasukan tentera laut pemberontak berupaya untuk melancarkan serangan terhadap loji minyak dan kapal tangki milik Arab Saudi di Laut Merah," katanya yang turut memberi amaran mengenai usaha menawan Pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak.

Lebih 8,400 dilaporkan maut sejak tentera pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan dalam peperangan di Yaman pada Mac 2015. - AFP

831 dibaca
Berita Harian X