Jumaat, 29 September 2017 | 9:05am
GAMBAR fail, rakaman imej yang diambil dari video propaganda yang dikeluarkan oleh al-Furqan Media didakwa menunjukkan pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi menyampaikan ceramah di sebuah masjid di utara Bandar Mosul, Iraq pada 2014. - Foto AFP
GAMBAR fail, rakaman imej yang diambil dari video propaganda yang dikeluarkan oleh al-Furqan Media didakwa menunjukkan pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi menyampaikan ceramah di sebuah masjid di utara Bandar Mosul, Iraq pada 2014. - Foto AFP

Pemimpin Daesh gesa anggota terus berperang

BEIRUT: Pergerakan Daesh, semalam menyiarkan rakaman gesaan dibuat pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi, supaya militan di Syria dan Iraq menentang musuh mereka.

Dalam mesej pertama dalam masa hampir setahun dan menyusul laporan kematiannya, al-Baghdadi menggesa penyokong supaya menyasarkan 'pusat media' di negara yang memerangi kumpulan itu.

Amerika Syarikat berkata, ia meneliti rakaman itu dan berkata 'tiada sebab untuk meragui' ia adalah asli.

"Pemimpin Daesh dan anggotanya menyedari laluan kejayaan adalah sabar dan menentang pakatan tentera kafir," al-Baghdadi dilaporkan berkata dalam rakaman itu.

Tidak dapat dipastikan bila mesej itu, yang disiarkan oleh kumpulan media Al-Furqan, dirakamkan.

Dalam rakaman itu, beliau menyelar negara kafir yang diketuai AS, Russia dan Iran, yang bersama-sama negara rakan menyebabkan kekalahan Daesh dalam serangan berasingan di Syria dan Iraq.

"Kita akan kekal, kita akan menentang dan bersabar. Kita tidak akan menyerah," katanya, sehari selepas tentera Iraq menewaskan Daesh yang merampas sebahagian besar wilayah dalam serangan mengejut sekitar Ramadi di Baghdad. - AFP

Berita Harian X