Jumaat, 6 Oktober 2017 | 11:13pm
 RIBUAN penunjuk perasaan pelampau Islam berarak di bandar pelabuhan Bangladesh. - Foto AFP
RIBUAN penunjuk perasaan pelampau Islam berarak di bandar pelabuhan Bangladesh. - Foto AFP

Mahu Rohingya dibekal senjata

CHITTAGONG: Ribuan penunjuk perasaan pelampau Islam berarak di bandar pelabuhan Bangladesh di sini, hari ini untuk menggesa kerajaan membekalkan senjata kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine.

Lebih setengah juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak serangan pemberontak Muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis sehingga mencetuskan tindak balas kejam tentera Myanmar.

Mereka mendakwa, tentera Myanmar bersama penduduk etnik Rakhine menyembelih dan membakar banyak perkampungan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan operasi itu sebagai pembersihan etnik, namun tentera Myanmar menyalahkan pemberontak Rohingya.

Polis berkata, kira-kira 15,000 orang menyertai tunjuk perasaan di bandar kedua terbesar di Bangladesh itu yang dianjurkan kumpulan pelampau Islam Hefazat-e-Islam sebagai bantahan terhadap pembunuhan Rohingya.

"Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai Rohingya dihentikan. Kami mahu kerajaan melatih dan memberikan senjata kepada Rohingya supaya mereka boleh membebaskan tanah air mereka," kata jurucakap Hefazat, Azizul Hoque Islamabad. - AFP

Berita Harian X