Selasa, 10 Oktober 2017 | 7:25pm
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengagihkan 900,000 dos vaksin taun kepada pelarian Rohingya.- Foto AFP

Pelarian Rohingya terima vaksin taun

COX'S BAZAR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengagihkan 900,000 dos vaksin taun kepada pelarian Rohingya, di sini.

Menurut WHO, sejak minggu lalu, lebih 10,000 kes taun dilaporkan.

Kakitangan WHO yang disokong sekitar 1,000 sukarelawan bercadang membri vaksin kepada 650,000 pelarian Rohingya untuk beberapa minggu akan datang.

Ia diikuti dos kedua vaksin untuk anggaran 250,000 kanak-kanak berusia satu tahun dan lima tahun. Bagaimanapun bayi bawah setahun tidak akan diberi vaksin.

Ia dianggap kempen kedua terbesar pemberian vaksin selepas 800,000 orang diberi imunisasi terhadap taun di Haiti, November lalu.

"Ada risiko jelas merebaknya wabak taun. Kes terpencil tidak dapat dielakkan, namun kami tidak menjangka wabak besar-besaran seperti di Yaman," kata wakil WHO di Bangladesh, Dr N Paranietharan.

Jurucakap Tabung Dana Kanak-kanak PBB (UNICEF), A M Sakil Faizullah, memberitahu AFP, pelarian kekurangan banyak kemudahan asas, tandas, air bersih dan segala-galanya, yang mendedahkan mereka kepada wabak taun.

Hampir 520,000 Muslim Rohingya tiba di Bangladesh sejak akhir Ogos lalu.

Kemasukan pelarian sudah perlahan sejak beberapa minggu lalu, namun kini meningkat semula. Anggaran 10,000 pelarian baharu tiba semalam. - AFP/REUTERS

Berita Harian X