Sabtu, 14 Oktober 2017 | 8:09pm
EMPAT pelarian Rohingya maut selepas diserang sekumpulan gajah liar. - Foto AFP

4 pelarian Rohingya maut dipijak gajah liar

COX'S BAZAR: Empat pelarian Rohingya, termasuk tiga kanak-kanak, maut selepas diserang sekumpulan gajah liar ketika sedang membina khemah dalam hutan di selatan Bangladesh, hari ini.

Menurut polis, insiden berkenaan berlaku di kem Balukhali dalam daerah Cox's Bazar, yang menjadi tumpuan ratusan ribu etnik Rohingya membina perlindungan sementara sejak melarikan diri dari keganasan yang melanda di sepanjang sempadan di Myanmar.

"Mereka dipijak sehingga mati oleh tujuh atau lapan gajah liar. Mangsa terdiri daripada seorang wanita dan tiga kanak-kanak," kata Timbalan Ketua Polis Cox's Bazar, Afrozul Haq Tutul yang memberitahu AFP.

Katanya lagi, dua orang turut cedera dan semua mangsa adalah etnik Rohingya yang membina khemah dalam hutan itu yang menjadi habitat gajah mencari makanan serta tempat perlindungan.

Insiden itu adalah kali kedua berlaku di mana sebelum ini pelarian Rohingya pernah diserang gajah liar di kawasan sama.

Dalam insiden itu, dua pelarian Rohingya iaitu seorang warga emas dan seorang kanak-kanak maut selepas diserang mamalia itu ketika sedang tidur di tempat perlindungan sementara. - AFP.

Berita Harian X