Isnin, 16 Oktober 2017 | 8:53pm
Seorang lelaki memegang al-Quran di sisi Gabenor Jakarta, Anies Baswedan semasa upacara bersumpah di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
Seorang lelaki memegang al-Quran di sisi Gabenor Jakarta, Anies Baswedan semasa upacara bersumpah di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Gabenor baharu Jakarta angkat sumpah

JAKARTA: Bekas Menteri Pendidikan Indonesia mengangkat sumpah sebagai Gabenor Jakarta hari ini, beberapa bulan selepas menang pilihan raya yang menyebabkan perpecahan agama dan etnik di negara paling ramai umat Islam itu.

Anies Baswedan disahkan memegang jawatan itu ketika reputasi Indonesia yang mengamalkan toleransi agama terjejas berikutan kebangkitan golongan agama di negara itu yang mempunyai ramai minoriti Kristian, Hindu dan Buddha.

Baswedan berdepan kritikan selepas menang pilihan raya April lalu dengan sokongan kumpulan Islam yang membantah pencabar dan bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, etnik Cina Kristian yang dituduh menghina Islam.

Gabenor Jakarta yang baru dilantik, Anies Baswedan (kiri) disambut oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (tengah) dan isteri, Iriana Widodo (kanan) semasa upacara perasmian di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto EPA-EFE
Gabenor Jakarta yang baru dilantik, Anies Baswedan (kiri) disambut oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (tengah) dan isteri, Iriana Widodo (kanan) semasa upacara perasmian di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia. - Foto EPA-EFE

"Kami akan pastikan gabenor Jakarta menjadi pentadbir kepada semua, mereka yang mengundi kami atau tidak," katanya yang memakai seragam putih kepada wartawan, selepas majlis di istana negara.

Kumpulan seperti Barisan Pertahanan Islam (FPI) berharap Baswedan akan melaksanakan gaya hidup Islam di bandar raya dengan lebih 10 juta penduduk itu.

Ketua Cabang FPI Jakarta, Novel Bamukmin, berkata kumpulan itu akan mendesak pentadbiran Baswedan menutup bar dan kelab secara beransur-ansur di bandar raya yang dikenali dengan kehidupan malamnya.

Katanya, tindakan tegas itu kerana 'ia tidak bermoral dan bukan budaya Islam'.

Beliau memberitahu, akan turut mendesak pembatalan perayaan sambutan menjelang Tahun Baru yang menyaksikan ribuan penduduk membanjiri pasar jalanan, konsert dan persembahan teater tradisi dibiayai bandar raya itu.

Timbalan Baswedan, Sandiaga Uno sebelum ini, berkata pentadbirannya akan mempertimbangkan mendirikan lokasi hiburan patuh syariah yang sama seperti di Abu Dhabi atau Dubai. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X