Selasa, 7 November 2017 | 5:42pm
PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. - Foto AFP

Riyadh tuduh Iran dalang serangan peluru berpandu

DUBAI: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, berkata tindakan Iran membekalkan peluru berpandu kepada militia di Yaman adalah "tindakan ketenteraan secara langsung", lapor agensi berita SPA.

Pembekalan peluru berpandu kepada pemberontak Houthi boleh "dianggap aksi perang terhadap Arab Saudi", SPA memetik Putera Mohammed sebagai berkata dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Britain, Boris Johnson.

Pasukan pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik yang dikatakan dibedil ke Riyadh pada Sabtu lalu oleh militia Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman, termasuk ibu negaranya, Sanaa, dalam perang saudara di negara itu.

Iran menafikan ia mendalangi pelancaran peluru berpandu itu, menolak kenyataan Arab Saudi dan Amerika Syarikat yang mengutuk Tehran sebagai "bersifat pemusnah dan provokatif" dan "pemfitnah".

Dalam temubual dengan CNN, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, menuduh Hizbullah melancarkan peluru berpandu ke arah Riyadh dari wilayah dikuasai Houthi.

"Berhubung peluru berpandu itu, ia dilancarkan ke wilayah Arab Saudi, ia peluru berpandu Iran yang dibedil oleh Hizbullah dari wilayah dirampas Houthi di Yaman," katanya. - Reuters

545 dibaca
Berita Harian X