Selasa, 7 November 2017 | 11:59pm
PRESIDEN Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. - Foto Reuters

Presiden Mesir tidak bertanding

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, tidak akan bertanding penggal ketiga, katanya dalam wawancara dengan CNBC, menambah beliau juga tidak berhasrat mengubah perlembagaan dan peruntukan mengehadkan jawatan presiden untuk dua penggal.

Katanya, sebagai pemimpin, beliau tidak akan kekal dengan jawatan itu tanpa restu rakyat Mesir.

"Tidak wajar bagi saya sebagai Presiden untuk mentadbir walau sehari pun tanpa restu rakyat Mesir.

"Kami tidak akan campur tangan dengan perlembagaan. Saya mengekalkan dengan dua penggal pentadbiran empat tahun," katanya kepada CNBC hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan jika berhasrat bertanding penggal kedua selepas penggal pentadbirannya berakhir.

Sisi berkuasa pada 2014, setahun selepas beliau mengetuai tentera menyingkirkan Presiden Islam, Mohamed Morsi.

Beliau mungkin tidak berdepan tentangan kuat dan ramai pihak di Mesir melihat Sisi penting untuk kestabilan di negara yang melihat kejatuhan ekonomi sejak kebangkitan rakyat pada 2011.

Peguam hak asasi manusia Mesir dan pemimpin pembangkang, Khaled Ali, semalam menjadi tokoh pertama mengumumkan akan bertanding menentang Sisi, berikrar mencabarnya dalam pilihan raya 2018, dengan syarat tidak dilarang bertanding.

Ali, 45, mula terkenal Januari lalu apabila menang kes membatalkan pemindahan dua pulau di Laut Merah kepada Arab Saudi, perjanjian yang mencetuskan bantahan besar-besaran. - Reuters

692 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »