Khamis, 23 November 2017 | 1:18am
PELABUHAN Hodeida akan dibuka bagi menerima 'bantuan kemanusiaan segera'.- Foto fail AFP

Pelabuhan, lapangan terbang Yaman dibuka untuk agih bantuan

RIYADH: Pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman mengumumkan, lapangan terbang Sanaa dan pelabuhan Laut Merah akan dibuka semula bagi membolehkan penyaluran bantuan selepas ditutup hampir dua minggu akibat serangan peluru berpandu ke atas Riyadh.

Tentera pakatan itu berkata, pelabuhan Hodeida akan dibuka bagi menerima 'bantuan kemanusiaan segera' manakala lapangan terbang Sanaa pula dibuka untuk pesawat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bermula tengah hari Khamis.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak menyebut jika pelepasan sekatan membabitkan kenderaan komersil.

Hodeida dikawal pemberontak Houthi disokong Iran dan pintu masuk utama segala misi bantuan dan makanan ke Yaman.

Sekatan sepenuhnya dikenakan ke atas lapangan terbang dan pelabuhan Yaman dua hari selepas pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu ke atas Arab Saudi, 4 November lalu.

Peluru berpandu itu bagaimanapun berjaya dipintas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, menyebabkan pertelingkahan tercetus antara Tehran dan Riyadh.

Majlis Keselamatan PBB pada 9 November lalu menggesa sekatan terbabit ditarik balik dan memberi amaran, Yaman bakal mengalami krisis kebuluran terburuk di dunia sejak beberapa dekad jika sekatan masih dilaksanakan. -AFP

169 dibaca
Berita Harian X