Khamis, 23 November 2017 | 10:37pm
PUTERA Sultan Salman Abdulaziz.- Foto AFP

Arab Saudi sasar keluar visa pelancong 2018

DUBAI: Arab Saudi menyasar untuk mula mengeluarkan visa kepada pelawat asing pada tahun depan, kata seorang pegawai kanan Arab Saudi kepada CNN.

Ia ketika kerajaan mula melaksanakan dasar pintu terbuka di negara pentadbiran diraja konservatif itu dan mula mencari sumber baharu pendapatan bagi mempelbagaikan ekonomi.

Ketika ini, pelawat asing yang berkunjung ke Arab Saudi dihadkan kepada mereka yang menetap dan bekerja serta keluarga masing-masing, ahli perniagaan serta jemaah haji dan umrah yang diberi visa khas ke Makkah.

"Sasaran pelawat adalah mereka yang mahu datang dan mendapat pengalaman di negara ini," Ketua Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Semula Jadi Arab Saudi, Putera Sultan Salman Abdulaziz dalam wawancara disiarkan lewat semalam.

Ditanya mengenai pelan visa berkenaan, beliau menjawab: "Saya berharap pada 2018."

Tambahnya, kerajaan akan menggunakan teknologi dalam talian bagi menjadikan permohonan visa lebih mudah.

Pewaris Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman, 32, sedang dalam perancangan membangunkan industri baharu untuk mengurangkan kebergantungan negara itu kepada eksport minyak.

Beliau juga mengambil beberapa langkah melonggarkan sekatan sosial ultra-tegas, mengurangkan peranan polis agama dan mengumumkan rancangan membenarkan wanita memandu tahun depan.

Rancangan membenarkan kemasukan sejumlah besar pelancong dari luar dibincangkan selama bertahun, namun disekat pendapat konservatif dan birokrasi.

Kali ini, kerajaan jelas berhasrat meneruskan perubahan, sebahagian besarnya kerana tekanan kewangan.

Ia berharap memperoleh bilion dolar pendapatan untuk menampung defisit bajet disebabkan penurunan harga minyak. - Reuters

631 dibaca
Berita Harian X