Isnin, 4 Disember 2017 | 7:32am
BEKAS Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik. - Foto REUTERS

Bekas PM Mesir pertimbang tanding presiden

KAHERAH: Bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafik, yang baru pulang ke tanah air dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan beliau masih menimbang hasrat bertanding merebut jawatan presiden.

Kenyataan Shafik yang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta Kaherah itu dibuat sehari selepas ahli keluarganya mendakwa, beliau dihantar pulang ke Mesir selepas dibawa dari kediaman mereka di UAE.

Sejak itu, keluarga juga mendakwa mereka terputus hubungan dengan Ahmed.

Ahmed, bekas ketua Angkatan Tentera Udara Mesir dan menteri kabinet, disifatkan oleh pengkritik Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi sebagai pencabar paling berpotensi untuk merebut jawatan itu daripada presiden.

Abdel Fattah dijangka mempertahankan kedudukan beliau untuk penggal kedua tahun depan.

Maklumat berhubung kejadian yang menimpa Shafik, iaitu 'kehilangan' beliau dari UAE, Sabtu lalu dan deklarasi dibuat beliau masih tidak jelas.

Beliau membuat kejutan dari UAE minggu lalu apabila mengumumkan bakal bertanding dalam pilihan raya 2018.

"Hari ini saya berada di negara ini, justeru saya rasa bebas untuk bercakap dengan lebih lanjut mengenai isu ini, termasuk bertemu orang ramai.

"Ketika ini, saya memiliki peluang untuk menyiasat dan melihat apa sebenarnya yang diperlukan (rakyat) dan melihat jika ia satu pilihan yang logik," katanya.

Shafik turut menafikan dakwaan bahawa beliau diculik, malah peguamnya, Dina Adly, dalam satu status di akaun Facebook berkata, beliau berkesempatan bertemu lelaki itu di sebuah hotel di Kaherah dan mendapati bekas Perdana Menteri itu tidak terbabit dalam sebarang siasatan. - REUTERS

773 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »