Khamis, 7 Disember 2017 | 1:35pm
RAKAMAN visual televisyen menunjukkan salah seekor haiwan itu berkeliaran di bilik darjah

Babi hutan kacau tumpuan pelajar duduki peperiksaan

TOKYO: Sekumpulan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan di sebuah sekolah gagal menumpukan perhatian apabila premis itu diceroboh dua babi hutan, Isnin lalu.

Rakaman visual televisyen menunjukkan salah seekor haiwan itu berkeliaran di bilik darjah dan menyondol tingkap dalam cubaan melarikan diri dari sekolah di Kyoto itu.

Seekor lagi pula dilihat berendam di dalam kolam renang sekolah berkenaan dan mengejutkan pelajar yang berada di situ.

Seorang murid lelaki ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Nippon TV berkata, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan dan kedua-dua haiwan itu berlari dengan begitu pantas.

Kesemua pelajar terbabit sedang menduduki peperiksaan pertengahan semester apabila kejadian terbabit berlaku, namun jadual persekolahan tetap berjalan seperti biasa.

Kedua-dua haiwan berkenaan berjaya ditembak mati tidak lama selepas itu.

Babi hutan sering dilihat berkeliaran di bandar berhampiran kawasan pergunungan kerana pembangunan tidak terkawal memusnahkan habitat asal haiwan itu. - AFP

984 dibaca
Berita Harian X