Jumaat, 8 Disember 2017 | 12:57am
BERATUS penduduk mengambil bahagian dalam bantahan melaungkan slogan mengutuk Trump dan Israel sambil mengibarkan bendera Jordan dan Palestin. - Foto EPA

Rakyat Jordan gesa boikot AS, tutup kedutaan

AMMAN: Penunjuk perasaan membakar bendera Amerika Syarikat (AS) dan gambar Presiden Donald Trump ketika bantahan berhampiran kedutaan AS di sini bagi mengutuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Beratus penduduk mengambil bahagian dalam bantahan di kejiranan Abdoun di barat ibu kota ini, melaungkan slogan mengutuk Trump dan Israel sambil mengibarkan bendera Jordan dan Palestin.

Berpuluh kenderaan polis perusuh mengepung perkarangan kedutaan yang dikawal ketat untuk menghalang penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan berdiri pada jarak 50 meter sambil menggesa pihak berkuasa Jordan menutup kedutaan AS dan mengusir dutanya.

"Tiada kedutaan AS di bumi Jordan," teriak mereka, mengatakan AS 'sumber keganasan' di dunia. Mereka juga melaungkan 'Mati Israel.'

Bantahan sama diadakan di universiti di seluruh Jordan dengan pelajar mengutuk pengiktirafan Trump dan menggesa boikot ke atas AS.

Dalam satu bantahan di kampus utama Universiti Jordan di sini, ribuan pelajar yang mengadakan demonstrasi melaungkan 'hancurkan hegemoni AS' dan 'panjang umur Baitulmaqdis.'

Pelajar juga menggesa Jordan, sekutu rapat AS supaya membatalkan perjanjian damai 1994 dengan Israel. - AFP

2207 dibaca
Berita Harian X