Jumaat, 8 Disember 2017 | 8:03pm
RIBUAN penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bagi mengutuk keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. - Foto EPA

Penduduk Asia bantah keputusan Trump

JAKARTA: Ribuan penunjuk perasaan di Asia mengadakan demonstrasi hari ini bagi mengutuk keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Di Indonesia, ratusan penunjuk perasaan berpakaian putih berkumpul di luar kedutaan AS di sini, ibu kota negara paling ramai umat Islam di dunia.

Sebahagiannya mengibarkan bendera Palestin.

"Kami berdiri di sini atas nama keadilan dan kemanusiaan. Kami berkumpul untuk mempertahankan saudara kami di Palestin," kata seorang pemimpin perhimpunan di Jakarta.

Sekumpulan kecil pelajar turut mengadakan bantahan di Makassar dan membakar bendera AS dan Israel, lapor media.

Sementara di Bangladesh, kira-kira 3,000 rakyat berhimpun di depan masjid utama di Dhaka untuk tujuan sama.

Anggota pertubuhan pelajar, Bangladesh Islamic Chhatra Mojlish, membakar gambar Trump.

Di wilayah Kashmir yang ditadbir India, sekumpulan kecil penduduk mengadakan bantahan di Srinagar.

"Kami mengutuk keputusan bodoh Trump," menurut kenyataan pada patung Trump.

Bantahan turut berlaku di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza apabila Hamas menggesa penduduk Palestin melancarkan Intifada baru. - Reuters

Berita Harian X