Selasa, 12 Disember 2017 | 7:02pm

India larang iklan kondom di televisyen

NEW DELHI: India melaksanakan larangan iklan kondom di televisyen seluruh negara itu pada waktu perdana berikutan kebimbangan kandungan berunsurkan seks dan tidak senonoh boleh mempengaruhi kanak-kanak.

Kementerian Penyiaran dan Maklumat India mengarahkan kira-kira 900 stesen televisyen di India menyiarkan iklan kondom kepada khalayak antara jam 10 malam hingga 6 pagi sahaja.

Cadangan waktu siaran itu dijangka mencetuskan kemarahan, jika iklan itu disiarkan di luar waktu tidur, terutama pada waktu awal pagi.

"Semua saluran televisyen dinasihatkan supaya tidak menyiarkan iklan kondom yang menyasarkan golongan dewasa, kerana ia mungkin tidak sesuai untuk ditonton kanak-kanak," kata arahan itu semalam.

Ia turut memetik peraturan penyiaran yang melarang penggunaan tema iklan yang tidak senonoh, lucah atau ofensif.

Maklumat kumpulan industri Majlis Penyelidikan Penonton Penyiaran (BARC) menunjukkan saluran televisyen awam dan swasta India ditonton 183 juta isi rumah di seluruh negara itu.

Seks kekal menjadi isu yang dianggap satu larangan di India, iaitu sebuah negara konservatif dan masih mengamalkan tradisi dan isu kondom sebelum ini banyak mencetuskan kontroversi. - AFP

Berita Harian X