Khamis, 28 Disember 2017 | 9:43am
AYATOLLAH Ali Khamenei. - Foto AFP

Trump tak akan berjaya gugat Iran - Khamenei

DUBAI: Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata Presiden Donald Trump akan gagal dalam pendirian tegasnya terhadap republik itu dan menegaskan Tehran lebih kuat berbanding ketika pentadbiran bekas Presiden Ronald Reagan yang 'lebih berpengaruh dan bijak'.

"Reagan lebih berpengaruh dan bijak berbanding Trump, dan lebih baik dalam melakukan ancaman, dan dia juga menentang kami dan menembak jatuh pesawat Iran," kata Khamenei dalam ucapan yang disiarkan televisyen.

Pada 1988, kapal perang Amerika Syarikat menembak jatuh pesawat Iran di Teluk, mengorbankan semua 290 penumpang dan anak kapal, dalam kejadian yang disifatkan Washington sebagai satu kesilapan.

Tehran berkata, ia serangan yang disengajakan terhadap Iran, yang ketika itu berperang dengan Iraq.

"Reagan sudah meninggal dunia, dan menurut kepercayaan kami, dia kini berhadapan hukuman Tuhan, manakala Iran mencipta kemajuan dalam semua bidang sejak era Reagan.

"Corak ini akan berterusan di bawah pentadbiran terkini AS dan sebarang harapan Iran akan mundur atau lemah adalah sia-sia," katanya. - Reuters

1711 dibaca
Berita Harian X