Isnin, 15 Januari 2018 | 7:43am
GUNUNG berapi Mayon.

Mayon tunjuk tanda bakal meletus

MANILA: Filipina meninggikan tahap amaran bagi gunung berapi paling aktif negara itu dua kali dalam tempoh 24 jam semalam, menunjukkan letusan mungkin berlaku dalam masa beberapa hari.

Pancaran dari kawah puncak gunung berapi Mayon menunjukkan permulaan aliran lahar, manakala wap dan abu dihasilkan tiga letusan wap, menurut institut gunung berapa negara itu.

Status Mayon dinaikkan lewat semalam kepada Tahap Tiga, bermakna 'kecenderungan meningkat ke arah letusan membahayakan'.

"Ini bermakna Mayon menunjukkan ketegangan tinggi dan magma berada di kawah dan letusan membahayakan berkemungkinan dalam masa beberapa minggu atau beberapa hari," kata Institut Gunung Berapi dan Gempa Bumi Filipina (PHIVOLCS) dalam kenyataan.

Lebih 900 keluarga dipindahkan dan berlindung sementara di sekolah berhampiran, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan kepada Manila Bulletin.

Zon bahaya meliputi tujuh kilometer dicadangkan di selatan gunung berapi itu.

Penduduk awam digesa berwaspada dan mengelak memasuki kawasan itu 'disebabkan bahaya runtuhan batu, tanah runtuh dan letusan tiba-tiba atau kubah runtuh yang mungkin mencetuskan aliran gunung berapi bahaya'.

Pihak berkuasa penerbangan awam diberitahu supaya menasihatkan juruterbang supaya mengelak terbang berhampiran puncak gunung berapi disebabkan letusan abu yang membahayakan pesawat. - AFP

628 dibaca
Berita Harian X