Ahad, 21 Januari 2018 | 7:30am
NAIB Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence. - Foto Reuters

AS masih sokong 'penyelesaian dua negara'

KAHERAH: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence semalam memberitahu pemimpin Mesir bahawa negara itu akan menyokong pelan penyelesaian dua negara Israel-Palestin jika kedua belah pihak bersetuju.

Kenyataan itu adalah antara usaha AS untuk meyakinkan sekutu utama Arab dengan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Kami faham maksud Presiden Abdel Fattah Al-Sisi," kata Pence selepas pertemuan mereka, sambil menyifatkan bantahan pemimpin Mesir itu terhadap keputusan Trump sebagai 'perselisihan antara rakan'.

Pence berkata, beliau memberi jaminan kepada Sisi bahawa AS komited untuk memelihara status quo kawasan suci di Baitulmaqdis dan belum mencapai sebarang resolusi akhir mengenai sempadan untuk kedua belah pihak.

"Sisi berkata, penyelesaian bagi konflik Palestin-Israel hanya akan melalui rundingan berdasarkan penyelesaian dua negara, dan Mesir akan berusaha keras untuk menyokongnya," kata kenyataan dari presiden Mesir itu.

Pence ke Asia Barat dalam rangka lawatan ke tiga negara termasuk Mesir, Jordan dan Israel. Ia adalah lawatan tertinggi membabitkan pegawai AS ke rantau itu sejak Disember, apabila Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Keputusan yang mengubah polisi AS sejak berdekad lama dan pantas menggerakkan proses memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, mengecewakan pemimpin dunia Arab dan mendorong rakyat Palestin untuk menolak AS sebagai broker keamanan. - Reuters

Berita Harian X