Isnin, 22 Januari 2018 | 10:38pm
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence berucap di rostrum Parlimen Israel. - Foto EPA-EFE

Kedutaan AS di Baitulmaqdis dibuka tahun depan

BAITULMAQDIS: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence berikrar hari ini, negaranya akan memindahkan kedutaan dari Tel Aviv ke sini menjelang akhir 2019, langkah yang dibantah sekeras-kerasnya oleh Palestin.

Dalam ucapan sama daripada rostrum Parlimen Israel, Pence juga menggesa Palestin meneruskan rundingan damai yang sekian lama tertangguh dengan negara Zionis itu.

"Baitulmaqdis ialah ibu kota Israel. Justeru Presiden Trump (Donald) mengarahkan Jabatan Negara supaya sedia memulakan persiapan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

"Dalam beberapa minggu akan datang, pentadbiran kami akan meneruskan rancangan membuka kedutaan AS di Baitulmaqdis dan misi itu akan dibuka sebelum akhir tahun depan," kata Pence disambut sorakan ahli parlimen Israel.

Pada permulaan ucapannya, pembuat dasar Arab Israel, berang dengan keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel 6 Disember lalu, cuba melancarkan bantahan dari dewan Knesset.

Anggota Senarai Bersama terdiri daripada pakatan parti Arab, yang berikrar memboikot ucapan Pence, mula berteriak dan memegang sepanduk bantahan ketika beliau mula berucap, namun segera diusir.

Tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis menyebabkan Palestin memutuskan hubungan dengan pentadbiran Trump, namun Pence menggesa mereka kembali ke meja rundingan.

"Kami menggesa kepemimpinan Palestin kembali ke meja rundingan. Perdamaian hanya boleh dicapai menerusi dialog," kata Pence. -AFP

Berita Harian X