Khamis, 25 Januari 2018 | 6:38pm
Community leaders survey damaged houses and buildings inside war-torn Marawi, Philippines January 13, 2018. Picture taken January 13, 2018. REUTERS/Tom AllardTOM ALLARD

Pakatan perisikan ASEAN dilancar perangi ancaman militan

NUSA DUA: Enam negara Asia Tenggara melancarkan pakatan perisikan hari ini menyasar memerangi militan Daesh dan memperbaiki kerjasama berkaitan ancaman keselamatan, menangani apa yang disifatkan penganalisis tahap ketidakpercayaan tinggi.

Di bawah inisiatif 'Mata Kami' (Our Eyes), pegawai pertahanan kanan akan bertemu setiap dua minggu untuk bertukar-tukar maklumat berkaitan kumpulan militan dan membangunkan pangkalan data keganasan pelampau secara bersama.

Kerjasama perkongsian perisikan itu dilakukan selepas pemberontak yang bersekongkol dengan Daesh mengepung bandar selatan Filipina di Marawi tahun lalu.

Berpuluh rakyat asing, terutama dari Indonesia dan Malaysia, antara ratusan militan yang merampas sebahagian besar Marawi serta terbabit dalam pertempuran hebat dengan pasukan keselamatan Filipina, mengakibatkan sebahagian besar bandar itu tinggal runtuhan dan lebih 1,100 orang maut, menurut angka kerajaan.

Sesetengah pejuang asing dipercayai melakukan perjalanan ke Marawi menerusi sempadan maritim poros di Laut Sulu, bersebelahan Indonesia, Malaysia dan Filipina.

"Ini sesuatu yang kelihatan mudah, namun kesannya luar biasa," kata Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu ketika pelancaran di Bali.

Ryamizard berkata, perkongsian perisikan itu akan memastikan satu lagi insiden seperti Marawi tidak berlaku dan menghalang rantau itu daripada 'menjadi seperti Asia Barat.'

Beliau menambah, perkongsian perisikan itu 'terutama untuk memerangi keganasan dan radikalisme.'

Katanya, walaupun diketuai pasukan tentera, perkongsian perisikan itu membabitkan semua pihak termasuk polis.

Bersama Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Brunei - semua anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) menandatangani pakatan itu. -Reuters

Berita Harian X