Isnin, 12 Februari 2018 | 6:56am
TENTERA India mengawal di depan pintu masuk kem tentera Sunjuwan di Jammu. - Foto AFP

Askar dan militan bertempur, 9 maut

SRINAGAR: Sembilan orang terbunuh dalam pertempuran senjata antara tentera India dan militan yang memasuki hari kedua di kem tentera India di negeri utara Jammu dan Kashmir.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri di New Delhi berkata, militan yang menyerbu kem pada awal semalam, menyebabkan ratusan polis, tentera dan separa tentera terpaksa dikejarkan ke kem berkenaan untuk mengusir militan.

Seorang pegawai kanan polis yang enggan nama dikenali berkata, empat tentera dan seorang penduduk awam antara yang terbunuh selepas militan memecah masuk kem tentera Sunjuwan di Jammu, semalam.

Katanya, tiga militan turut terbunuh.

Difahamkan, kem tentera di bandar Jammu terletak dekat dengan dua pusat membeli belah dan sekolah awam.

Katanya, sejumlah penyerang yang tidak diketahui jumlahnya mengepung di dalam kompleks kediaman kem itu ketika pertempuran sengit sedang berlaku.

Ketua Pengarah Polis Jammu dan Kashmir, S P Vaid berkata, komunikasi yang berjaya dipintas 'mendapati bahawa pengganas terbabit dalam serangan itu ialah kumpulan Jaish-e-Mohammad' sebuah pertubuhan pemisah yang berpangkalan di Pakistan. - Reuters

529 dibaca
Berita Harian X