Jumaat, 2 March 2018 | 6:53pm

Kaki, lengan manusia dalam perut buaya

BALIKPAPAN: Kaki dan lengan manusia dijumpai dalam perut buaya besar yang disyaki membaham seorang lelaki di Borneo, kata polis Indonesia hari ini.

Pihak berkuasa menembak mati reptilia ganas sepanjang enam meter itu berhampiran tebing sungai, lokasi seorang pekerja ladang kelapa sawit hilang dua hari sebelumnya, dengan cuma motosikal dan seliparnya ditemui di tempat kejadian.

Pencarian berakhir semalam apabila mayat Andi Aso Erang, 36, yang hilang dua anggota, ditemui terapung di bahagian berbeza sungai di Kalimantan itu.

Polis berkata, mereka mengesan buaya itu berhampiran dan membunuhnya.

"Di dalam perutnya, kami menjumpai lengan kiri dan kaki dipercayai milik mangsa," kata ketua polis tempatan, Teddy Ristiawan.

Isteri mangsa berkata, beliau keluar dari rumah untuk mencari kerang.

"Saya tidak menyangka akan berakhir dalam keadaan dahsyat seperti ini," kata Anisa.

Pada 2016, pelancong Russia maut dibaham buaya di pulau Raja Ampat, lokasi menyelam popular di timur kepulauan itu. - AFP

Berita Harian X