Selasa, 27 March 2018 | 9:07pm

Rampasan pil khayal meningkat di Bangladesh

DHAKA: Pasukan keselamatan Bangladesh merampas hampir sembilan juta pil methamphetamine dalam masa tidak sampai tiga bulan ketika kebanjiran beramai-ramai pelarian Rohingya meningkatkan penyeludupan bahan itu dari Myanmar.

Serbuan yang semakin meningkat ke atas bot nelayan di sungai Naf, yang memisahkan kedua-dua negara itu, menyebabkan rampasan besar-besaran pil 'yaba' yang digunakan remaja Bangladesh.

Tentera Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di bandar Teknaf merampas lebih 5.16 juta pil itu dan pengawal pantai merampas 3.47 juta sejak 1 Januari lalu.

"Dalam satu serbuan pada 15 Mac lalu, kami merampas 1.8 juta pil yaba yang ditinggalkan dalam empat karung di sungai Naf.

"Ia adalah rampasan terbesar yaba dilakukan BGB," kata komander pengawal sempadan, Leftenan Kolonel Asadud Zaman Chowdhury.

Pengawal sempadan turut menangkap 11 penyeludup sepanjang Mac, termasuk tujuh pelarian Rohingya.

Pengawal pantai yang meronda di Teluk Benggala menahan enam rakyat Myanmar dan merampas 300,000 pil daripada satu bot nelayan bulan ini, kata pegawai kanan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X