Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:00pm
PRESIDEN, Mahmoud Abbas. - Foto REUTERS

Abbas minta maaf perlekeh Yahudi

BAITULMAQDIS: Presiden Mahmoud Abbas, hari ini memohon maaf selepas dituduh sebagai anti-Semitik kerana menyifatkan penganiayaan ke atas penduduk Yahudi Eropah dilakukan kerana tindak-tanduk mereka, bukan kerana pegangan agama.

Abbas mengutuk anti-Semitik dan menyifatkan Holocaust sebagai 'jenayah paling keji dalam sejarah' dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya di Ramallah selepas mesyuarat empat hari Majlis Kebangsaan Palestin (PNC).

"Jika ada yang tersinggung dengan kenyataan saya di depan PNC, terutamanya orang Yahudi, saya mohon maaf.

"Saya tidak berniat bercakap begitu dan mengulangi rasa hormat saya kepada agama Yahudi serta agama yang mempercayai satu Tuhan lain," katanya dalam kenyataan.

Abbas, 82, dikecam pemimpin Israel dan Yahudi serta diplomat yang menuduh beliau anti-Semitik dan menafikan Holocaust kerana kenyataan yang dibuat Isnin lalu ketika ucapan pembukaan di PNC.

Dalam keterangan panjang mengenai sejarah, beliau berkata penduduk Yahudi yang tinggal di Eropah berhadapan pembunuhan beramai-ramai 'setiap 10 hingga 15 tahun di sesetengah negara sejak abad ke-11 dan sehingga berlakunya Holocaust'.

Memetik buku yang ditulis pelbagai penulis, Abbas berkata: "Mereka berkata kebencian terhadap Yahudi bukan disebabkan agama, ia berpunca daripada profesyen sosial mereka.

"Jadi, isu Yahudi menular lagi terhadap Yahudi seluruh Eropah bukan disebabkan agama, tetapi kerana unsur riba dan bank."

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menuduh Abbas sebagai anti-Semitik dan menafikan Holocaust, menggesa komuniti antarabangsa mengecamnya. - Reuters

Berita Harian X