Khamis, 17 Mei 2018 | 8:44pm
MENTERI Luar Iran, Mohammad Javad Zarif. - Foto AFP

Iran kecam tindakan Arab Saudi

TEHRAN: Menteri Luar Iran, hari ini menyelar Amerika Syarikat dan Arab Saudi menerusi Twitter kerana mengenakan sekatan ke atas pemimpin Hizbullah di Lubnan.

"Penembak curi Israel menembak lebih 2,000 penunjuk perasaan Palestin yang tidak bersenjata dalam masa sehari.

"Inikah reaksi Arab Saudi menjelang Ramadan? Bersubahat dengan AS untuk menyekat pasukan pertama membebaskan wilayah Arab dan memecahkan mitos Israel tidak boleh dikalahkan. Memalukan," kata Mohammad Javad Zarif.

AS dan enam negara Teluk mengumumkan tekanan itu semalam ke atas kepimpinan Hizbullah, ketika Washington mahu meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Iran dan sekutunya di rantau itu selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 bulan ini.

AS dan Pusat Sasaran dan Kewangan Pengganas (TFTC) diketuai Riyadh berkata, sekatan disasarkan kepada Majlis Syura Hizbullah, badan pembuat dasar kumpulan itu yang diketuai Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah.

Nasrallah, Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qasim dan tiga lagi anggota Majlis Syura disenaraikan dalam sekatang itu, yang bertujuan membekukan aset mereka dan menghalang akses kepada rangkaian kewangan global.

Pada masa sama, enam anggota Teluk TFTC iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengisytiharkan sekatan ke atas sembilan individu dan firma lain yang menjadi sebahagian atau dikaitkan dengan Hizbullah yang sudah sudah pun disenarai hitam oleh Perbendaharaan AS. - AFP

1281 dibaca
Berita Harian X