Ahad, 27 Mei 2018 | 10:29pm
SERAMAI tiga penduduk Palestin terbunuh selepas sebuah kereta kebal tentera Israel merempuh tiga pos pemerhati kumpulan Jihad Islam. - Foto EPA

Zionis bunuh tiga penduduk Palestin

GAZA: Seramai tiga penduduk Palestin di selatan Semenanjung Gaza hari ini terbunuh selepas sebuah kereta kebal tentera Israel merempuh tiga pos pemerhati kumpulan Jihad Islam, kata pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku di timur bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di wilayah yang dikuasai Hamas terbabit.

Katanya, mangsa terbunuh termasuk Hussien al-Amour, 25, Abdul Haleem al-Naqa, 28, dan Marwan al-Amour, 25.

Kenyataan kumpulan Jihad Islam, Briged Al-Quds mendakwa dua daripada mangsa adalah ahlinya, manakala status Marwan al-Amour yang maut akibat kecederaan masih tidak dapat dipastikan.

Jihad Islam adalah kumpulan bersenjata kedua terkuat di Semenanjung Gaza selepas Hamas yang mentadbir wilayah Palestin yang terkepung itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa, serangan itu dilakukan apabila mereka meletupkan bahan letupan yang diletakkan berhampiran pagar sempadan bertujuan menyasarkan tenteranya. - AFP

Berita Harian X