Selasa, 19 Jun 2018 | 4:04pm

Israel takut penderma air mani 'super'

TEL AVIV: Israel mengharamkan mana-mana pihak daripada menggunakan air mani yang diderma oleh 'penderma super', Ari Nagel, lapor New York Post (NYT) yang dipetik akhbar Haaretz.

Nagel, 42, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, terkenal sebagai penderma air mani yang menghasilkan 33 bayi sejak 10 tahun lalu di seluruh Amerika Syarikat termasuk Maryland, Orlando dan New York.

Air mani yang didermanya di Israel juga membantu wanita di sini mendapat anak dengan 10 lagi bayi dijangka dilahirkan daripada 'dermanya' itu, tahun ini.

Nagel berkata, dia menderma percuma kepada wanita yang tidak mampu mendapatkan air mani yang diderma kepada bank air mani kerana suka melihat 'kegembiraan di wajah wanita dan anak mereka.'

Tetapi, rekodnya dipandang serong oleh Kementerian Kesihatan Israel. Disember lalu, seorang wanita berusia 43 tahun yang mendapatkan air mani Nagel selepas membawanya ke sebuah klinik persendirian dimaklumkan bahawa 'derma' itu sudah dimusnahkan dan sumbangan lelaki itu tidak dapat disimpan di situ.

Wanita itu kemudian menerima surat dari Kementerian Kesihatan yang menjelaskan semua bank air mani di Israel diarah tidak menyimpan 'derma' Nagel dalam peti sejuk mereka.

Undang-undang Israel menetapkan penderma mestilah tidak dikenali identitinya kecuali mereka menandatangani dokumen untuk menjadi penjaga bersama anak itu dengan ibunya. - Agensi

Berita Harian X