Rabu, 4 Julai 2018 | 7:31am
HUJAN lebat menukar jalan kepada sungai di bandar timur Pakistan. - Foto EPA

6 maut, hujan lebat luar biasa landa Pakistan

LAHORE: Hujan paling lebat dalam tempoh 38 tahun menukar jalan kepada sungai di bandar timur Pakistan di sini, menyebabkan pemandu terkandas serta sekurang-kurangnya enam maut, kata seorang pegawai semalam.

Insiden bumbung runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang manakala dua lagi terkena renjatan elektrik akibat hujan, kata jurucakap perkhidmatan Rescure 1122, Jam Sajjad Hussain.

"Pegawai penyelamat menggunakan bot menyelamatkan beberapa individu di pinggir Lahore yang terkandas dalam air," kata Hussain.

Pemandu kenderaan berkata, perjalanan biasanya mengambil masa lima minit menjadi dua jam akibat jalan dinaiki air.

"Di mana saja anda pergi, jalan dipenuhi air. Kami tertekan," kata penunggang motor, Ahmed Shahzad.

Bandar ini merekodkan 214 millimeter hujan dalam tempoh 24 jam sehingga 8 pagi semalam, paling lebat sejak 38 tahun lalu, kata ketua jabatan meteorologi Pakistan, Muhammad Riaz kepada Reuters.

Katanya, sistem monsun akan membawa hujan lebat berterusan untuk tempoh 24 jam hingga 48 jam. -Reuters

Berita Harian X