Rabu, 4 Julai 2018 | 5:26pm
Para penunjuk perasaan cuba mengelakkan jentolak dari melewati desa Bedouin Palestin di Khan al-Ahmar, timur Yerusalem di Tebing Barat. - Foto AFP

Zionis bersiap runtuhkan kampung penduduk Palestin

KHAN AL-AHMAR: Penduduk dan aktivis hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Zionis merobohkan sebuah perkampungan Beduin di kawasan strategik Tebing Barat tanpa menghiraukan gesaan komuniti dunia supaya semua pihak mengelak provokasi.

Aktivis berkata, tentera Israel mengeluarkan satu waran kepada 173 penduduk Khan al-Ahmar, semalam dengan memberi kuasa untuk mengepung jalan ke perkampungan itu.

Jentera berat termasuk sekurang-kurangnya satu jentolak kelihatan di kampung itu, hari ini dan ia mengesahkan spekulasi bahawa satu jalan sedang disiapkan untuk mengosongkan dan memusnahkan perkampungan itu.

Pemandangan kampung Bedouin Palestin dari Khan al-Ahmar, timur Yerusalem di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

"Hari ini, mereka meneruskan kerja-kerja infrastruktur untuk memudahkan kerja-kerja meroboh dan memaksa penduduk berpindah," kata jurucakap kumpulan hak asasi manusia Israel B'Tselem, Amit Gilutz kepada AFP.

Pihak berkuasa Zionis berkata, kampung dan sekolah di kawasan itu dibina secara haram dan pada Mei lalu, mahkamah Agung menolak rayuan terakhir menolak pemusnahan itu.

Namun, aktivis berkata, penduduk kampung tidak mempunyai pilihan melakukan pembinaan tanpa permit pembinaan Israel kerana dokumen itu mustahil diperoleh penduduk Palestin untuk kawasan terbabit di Tebing Barat.

Palestin menunggang jentolak Israel di kampung Bedouin al-Khan al-Ahmar berhampiran Jericho di Tebing Barat yang diduduki. - Foto REUTERS

Pihak berkuasa Israel berkata, mereka sudah menawarkan kawasan pemindahan kepada penduduk kampung, namun mereka tidak menjawab permintaan ulasan, hari ini. - AFP

Berita Harian X