Rabu, 11 Julai 2018 | 5:24pm
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (tengah) melawat tempat perlindungan mangsa banjir di Mabi, Okayama, Jepun. - Foto AFP

Jepun kaji pelan urus bencana susulan banjir terburuk

KUMANO: Perdana Menteri Shinzo Abe melawat kawasan banjir di Jepun hari ini ketika angka kematian akibat bencana cuaca terburuk dalam tempoh 36 tahun kini mencecah 179 orang dan kebimbangan kesihatan meningkat akibat panas melampau dan ancaman baharu banjir.

Hujan lebat menyebabkan banjir dan mencetuskan tanah runtuh di barat Jepun minggu lalu, menjurus kematian dan kemusnahan di kejiranan dibina berdekad lalu berhampiran cerun gunung curam.

Sekurang-kurangnya 179 maut dengan berpuluh lagi dikhuatiri masih hilang dalam bencana cuaca terburuk Jepun sejak 1982 dengan angka maut dibimbangi meningkat.


Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (dua dari kiri) melawat penduduk di pusat pemindahan sementara di bandar Kurashiki, Okayama, barat Jepun. - Foto EPA-EFE

Abe bertemu mangsa banjir yang terpaksa berpindah akibat hujan lebat, ketika kerajaan berkata ia akan mengkaji semula pelan pengurusan bencana.

Perdana Menteri Jepun itu yang membatalkan lawatan ke luar negara susulan bencana, dikritik selepas gambarnya di Twitter menunjukkan beliau dan Menteri Pertahanan bersama pembuat dasar menghadiri parti ketika hujan semakin lebat.

Selepas meninjau kerosakan menggunakan helikopter di Okayama, satu daripada kawasan paling terjejas teruk, Abe melawat pusat pemindahan penuh sesak dan bercakap dengan mangsa, kebanyakannya warga emas serta bertanyakan keadaan kesihatan mereka.


Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (tengah) melawat tempat perlindungan mangsa banjir di Mabi, Okayama, Jepun. - Foto AFP

Beliau kemudian memberitahu media, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk membantu mangsa.

"Kami akan memintas birokrasi bagi membolehkan barangan dihantar kepada mangsa untuk meneruskan hidup di pusat pemindahan, seperti pendingin hawa ketika cuaca panas berterusan serta mendapatkan perumahan sementara atau barangan lain yang diperlukan," kata Abe, memperuntukkan bantuan awal AS$4 bilion (RM16.12 bilion) untuk pemulihan.

Berikutan persoalan meningkat mengapa hujan begitu lebat, jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, dasar pengurusan bencana akan dikaji semula.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami menyaksikan kerosakan akibat hujan lebat lebih buruk berbanding tahun sebelumnya. Kita perlu mengkaji apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengurangkan risiko itu," katanya.

Usaha menyelamat mula berkurangan, hampir seminggu selepas hujan serta harapan menemui mangsa terselamat semakin pudar.

Dengan suhu mencecah 33 darjah Celsius atau lebih tinggi di daerah Okayama dan Hiroshima, perhatian kini beralih kepada cara menghalang strok haba di kalangan pekerja penyelamat dan pusat pemindahan di mana ribuan berlindung.

Pada masa sama, pihak berkuasa beralih ke media sosial untuk memberi amaran berkaitan bahaya tambahan penyakit bawaan makanan, menggesa penduduk mencuci tangan dan mengambil langkah lain mencegah keracunan.

Arahan pemindahan dikeluarkan untuk 25 isi rumah di Fukuyama selepas rekahan ditemui di kawasan tadahan air.

Cuaca panas berterusan dijangka mencetuskan ribut petir hari ini, dengan pihak berkuasa memberi amaran, tanah runtuh baharu mungkin tercetus di kawasan pergunungan yang tepu air. -Reuters/AFP

Berita Harian X