Ahad, 22 Julai 2018 | 7:28am

Undang-undang baharu Israel jejas perdamaian Asia Barat

KAHERAH: Mesir berkata semalam, satu undang-undang baharu Israel yang memberi golongan Yahudi hak penentuan di negara itu melemahkan peluang perdamaian di Asia Barat dan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

Undang-undang itu, diluluskan Khamis lalu, menarik bantahan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan dikecam Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta penduduk Arab Israel sebagai perundangan bersifat perkauman.

"Republik Arab Mesir mengumumkan penolakannya terhadap undang-undang diluluskan Knesset Israel berkaitan 'sebuah negara untuk rakyat Yahudi' kerana kesannya yang mengabdikan konsep pembahagian penjajahan dan perkauman.

"Ia melemahkan peluang mencapai perdamaian dan keadilan serta penyelesaian komprehensif untuk isu Palestin," kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.

Katanya, undang-undang itu juga memiliki kesan potensi terhadap hak penduduk Palestin yang kehilangan hak kediaman mereka pada 1948 apabila Israel diasaskan serta keturunan mereka, untuk kembali ke tanah air mengikut resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada 1979, Mesir menjadi negara Arab pertama menjalin hubungan damai dengan Israel mengikut perjanjian Kem David disokong Amerika Syarikat (AS), membolehkan negara Yahudi itu berundur dari Semenanjung Sinai.

Namun hubungan keduanya kekal suam-suam kuku, apabila Mesir menuntut Israel berundur daripada tanah dijajahnya dalam perang Asia Barat 1967, termasuk Bukit Golan di Syria, Tebing Barat, Semenanjung Gaza serta Timur Baitulmaqdis milik Arab.

Jumaat lalu, Masjid al-Azhar Mesir, institusi paling berprestij Sunnah, mengecam undang-undang Israel itu, menggelarnya 'satu langkah yang mencerminkan sifat perkauman menjijikkan.' -Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X