Rabu, 25 Julai 2018 | 5:01pm

Ratusan ninja 'mohon kerja' terpedaya berita palsu

TOKYO: Bandar raya di selatan Jepun terpaksa menangani kebanjiran bakal ninja selepas laporan berita mengenai kekurangan buruh tempatan yang menyatakan ia mahu mengupah pembunuh tradisional itu menjadi tular.

Bandar raya Iga digambarkan dalam laporan oleh stesen radio Amerika, NPR, bulan ini mengenai penurunan kadar penduduk negara itu dan masalah kekurangan buruh.

Laporan menyebut, Iga cuba menggunakan sepenuhnya sejarah bandar raya itu sebagai tempat asal ninja dengan membina muzium baru yang memberi tumpuan kepada pahlawan berkenaan, tetapi bergelut mengupah pekerja, termasuk ninja.

Dalam laporannya, NPR berkata mereka yang mahu menjadi ninja dibayar antara AS$23,000 hingga AS$85,000 (RM93,000 hingga RM344,000) setahun.

Namun media lain atau laman tular memberikan tajuk kurang tepat: "Bandar raya ini membayar gaji AS$85,000 untuk berlatih sebagai ninja."

Menjelang hari ini, sekurang-kurangnya 115 penduduk yang bercita-cita menjadi pahlawan itu menghubungi bandar raya berkenaan dan persatuan pelancongan tempatan, keadaan yang membingungkan pegawai di Iga.

Malah bakal pahlawan dari sekurang-kurangnya 14 negara juga menghubungi pegawai.

"Iga tidak menyatakan maklumat mengenai kekurangan ninja atau pendapatan tahunan ninja, yang dilaporkan laman berita di internet," menurut kenyataan bandar raya itu di laman webnya.

Dalam kenyataan berbahasa Jepun, Inggeris dan tiga bahasa lain, bandar raya itu cuba mengurangkan harapan pemohon, menambah: "Berhati-hati dengan berita palsu." - AFP

Berita Harian X