Isnin, 30 Julai 2018 | 8:56pm
Penduduk Palestin menghalang jalan raya dengan membakar tayar semasa pertempuran menentang tentera Israel di Tebing Barat. - Foto EPA

Israel tahan 4 petugas TV Al-Quds

RAMALLAH: Tentera Israel menahan empat wartawan Palestin di jajahan Tebing Barat yang bertugas di sebuah stesen televisyen pro-Hamas, kata pihak berkuasa hari ini selepas Menteri Pertahanannya, Avigdor Lieberman, menganggap saluran itu pertubuhan pengganas.

Tentera Zionis berkata, penahanan wartawan televisyen Al-Quds (Baitulmaqdis) dilakukan semalaman sementara peralatan dan sebuah kenderaan turut dirampas.

Kesatuan wartawan Palestin berkata, dua kenderaan dirampas sebagai tambahan kepada peralatan termasuk sebuah kamera televisyen.

Menurut kesatuan itu, mereka yang ditahan termasuk pengarah saluran di Tebing Barat, Alaa Rimawi dan tiga wartawan.

Rimawi dan dua lain berasal dari sini sementara petugas keempat dari perkampungan berhampiran. Mereka ditahan di rumah mereka, kata rakan.

Tentera berkata, pertembungan meletus ketika serbuan penahanan itu dan tentera 'membalas dengan cara digunakan menyuraikan rusuhan.' Butiran lanjut tidak diperoleh.

Katanya, mereka yang ditahan 'disyaki menghasut dan terbabit dalam saluran televisyen Al-Quds disokong Hamas.'

Tentera berkata September lalu, ia mengisytiharkan TV Al-Quds sebagai suara Hamas dan membuktikan satu kaitan langsung antara saluran itu dan pertubuhan yang mentadbir Semenanjung Gaza.

Lieberman awal bulan ini menandatangani satu arahan mengisytiharkan saluran televisyen satelit berpusat di Lubnan itu sebagai pertubuhan pengganas.

Pihak berkuasa Israel menjalankan siri serbuan ke atas pertubuhan media Palestin dituduh menghasut, menarik kritikan daripada penyokong kebebasan media. -AFP

Berita Harian X