Ahad, 5 Ogos 2018 | 6:04pm
RIBUAN pelajar mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara berhubung kelemahan aspek keselamatan jalan raya selepas dua remaja maut akibat dirempuh sebuah bas yang dipandu laju. - Foto AFP

PM Bangladesh gesa pelajar merusuh pulang ke rumah

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina hari ini menggesa pelajar yang membuat demonstrasi pulang ke rumah, ketika polis melepaskan gas pemedih mata masuk hari kelapan bantahan berhubung isu keselamatan jalan raya.

Puluhan ribu pelajar menyebabkan sebahagian besar ibu kota ini lumpuh selepas dua remaja maut dilanggar bas yang memecut.

Rusuhan segera merebak ke tempat lain. Pihak berkuasa menutup perkhidmatan internet mudah alih di seluruh negara, kata pihak berkuasa dan media tempatan.

Keganasan berterusan hari ini dengan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan perusuh yang berarak ke arah pejabat parti pemerintah Liga Awami, kata seorang koresponden AFP.

Hasina memberi amaran, 'pihak ketiga' mungkin mensabotaj protes dan meletakkan keselamatan penunjuk perasaan dalam risiko.

"Sebab itulah mengapa saya meminta semua penjaga dan ibu bapa menghalang anak mereka keluar. Apa sahaja yang mereka lakukan cukuplah," katanya dari pejabat.

Sesetengah remaja dikejarkan ke hospital kelmarin selepas diserang, didakwa aktivis pro-kerajaan, kata saksi.

Amaran Hasina dikeluarkan ketika penunjuk perasaan berarak ke tempat pertembungan kelmarin sambil melaungkan 'Kami mahukan keadilan!'

Polis menafikan melepaskan peluru getah atau gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, sebaliknya kakitangan hospital mengakui berpuluh yang cedera sesetengah serius, konsisten dengan peluru getah. -AFP

Berita Harian X