Selasa, 7 Ogos 2018 | 7:37am
GAMBAR fail, Sistem rawatan air medan SafeWhere yang dibangunkan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka beri manfaat kepada lebih 30,000 etnik Rohingya di kem pelarian di sini, termasuk di kem Balukhali.Sistem yang bertujuan membekalkan air terawat yang selamat diminum itu mula dipasang sejak semalam di kem pelarian termasuk di hospital medan Malaysia (MFH) untuk kegunaan pelarian Rohingya dan komuniti sekitar. - Foto BERNAMA

Bangladesh disaran perbaiki keadaan hidup Rohingya

BANGKOK: Bangladesh perlu memperbaiki keadaan hidup Muslim Rohingya di kem pelarian terbesar dunia dan membatalkan rancangan memindahkan mereka ke pulau terdedah banjir, kata Human Rights Watch (HRW) semalam.

Hampir sejuta etnik itu yang diusir dari Myanmar kini hidup di selatan Bangladesh dengan 700,000 mereka tiba selepas tindakan keras terhadap etnik minoriti tanpa negara bermula Ogos tahun lalu.

Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam operasi pasukan keselamatan Myanmar sebagai pembersihan etnik.

Rohingya menceritakan kisah merogol beramai-ramai, pembunuhan dan disiksa ketika diusir dari perkampungan mereka manakala perkampungan dibakar sehingga tinggal abu.

Myanmar menafikan hampir semua tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan mengatakan ia mempertahankan dirinya daripada pemberontak Rohingya.

Bangladesh dan Myanmar menandatangani satu perjanjian penghantaran pulang namun Rohingya menolak untuk kembali tanpa jaminan keselamatan dan hak termasuk kebebasan pergerakan dan kerakyatan.

Pelarian kini menunggu dalam kem sesak dibina daripada buluh di bukit berlumpur, berkongsi bersama keluarga lain dan terdedah kepada penyakit.

“Pelarian ditempatkan amat rapat antara satu sama lain, terutama jika ia akan berlarutan lebih lama, ia akan menjadi tempat pengeraman penyakit berjangkit, disfungsi sosial, keganasan rumah tangga serta isu seperti kebakaran,” kata Pengarah Hak Asasi Pelarian HRW, Bill Frelick kepada media di sini ketika pelancaran laporan baharu berhubung keadaan dalam kem.

Ruang purata dalam bahagian kem mega di Cox’s Bazar adalah 10.7 meter persegi setiap individu berbanding standard kem pelarian 45 meter persegi untuk setiap individu menurut laporan, berdasarkan wawancara dengan pelarian, pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi PBB pada Mei lalu.

“Apa yang diperlukan segera adalah pemindahan semula,” tambahnya memetik risiko tambahan tanah runtuh ketika monsun.

Kumpulan hak asasi itu juga menggesa Bangladesh melupakan rancangan memindahkan kira-kira 100,000 Rohingya ke sebuah pulau di Teluk Bengal digelar Bhasan Char yang terdedah kepada banjir pasang surut.

HRW berkata, pihaknya mengenal pasti enam tapak sesuai di sebuah daerah kecil yang dapat menempatkan 263,000 pelarian.

Cadangan lain kepada pihak berkuasa ialah, memberi Rohingya status pelarian sah, membenarkan lebih banyak kebebasan pergerakan, mewujudkan akses lebih baik kepada pendidikan dan membina pusat perlindungan siklon. -AFP

Berita Harian X