Selasa, 14 Ogos 2018 | 11:23am
AHN Hee-jung, dibebaskan daripada semua tuduhan merogol seorang pembantu wanitanya. - Foto AFP

Ahn Hee-jung bebas tuduhan salah laku seks

SEOUL: Bekas calon Presiden Korea Selatan, Ahn Hee-jung, hari ini, dibebaskan daripada semua tuduhan merogol seorang pembantu wanitanya.

Hee-jung yang sebelum ini dianggap pencabar terdekat bagi menggantikan Presiden Moon Jae-in, dibebaskan daripada dakwaan melakukan penderaan seksual secara paksa, salah guna kuasa bagi mengadakan hubungan seks dan beberapa tuduhan lain oleh Mahkamah Daerah Barat Seoul.

“Saya meminta maaf dan saya berasa amat malu. Saya sudah mengecewakan pelbagai pihak. Saya akan berusaha untuk menebus segala kesalahan ini,” kata ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Beliau adalah bekas Gabenor Wilayah Chungcheong Selatan dan kes itu dianggap berprofil tinggi susulan meningkatnya gerakan #MeToo di Korea Selatan.

Pihak pendakwa raya memulakan siasatan kes itu selepas pembantu Hee-jung, Kim Ji-eun mendedahkan dalam satu temubual di stesen televisyen awal tahun ini, bahawa beliau dirogol majikannya sebanyak empat kali ketika bertugas.

Bagaimanapun, Hee-jung, 53, mendakwa ia berlaku akan persetujuan bersama, namun memohon maaf secara terbuka atas kejadian itu. - AFP

Berita Harian X